PERCAYA atau tidak, pemikiran sebilangan besar daripada kita hanya tertumpu kepada duit dan wang. Demi duit, ramai orang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan sekeping dua kertas berwarna yang mewakili nilai-nilai tertentu untuk membeli barang.
Setiap hari selepas bangun daripada tidur, akal dan jiwa sudah mula berfikir mengenai duit. Sang ibu memikirkan duit belanja untuk membeli barang dapur. Sang suami pula memikirkan duit untuk membayar hutang rumah dan kereta, beli susu anak, lampin, nafkah keluarga dan bermacam lagi.
Hidup ini bagi mereka, sangat-sangat memerlukan duit. Tanpa duit, hidup akan tunggang terbalik.
Demi duit, orang sanggup berjuang. Berjuang dengan cara cari duitlah, apa lagi? Apabila hidup makin tertekan kerana tiada cukup wang untuk terus hidup, maka hidup pun jadi bermasalah. Itu semua sebab asyik fokus memikirkan duit, duit dan duit.
Orang berfikir macam mana mahu isi minyak kereta yang dikatakan mahal, macam mana mahu beli ayam yang makin mahal sejak harga siling bagi ayam dimansuhkan sedangkan duit hanya tinggal 50 ringgit dalam dompet, macam mana mahu sekolahkan anak sebab tidak punya duit sepenuh tempayan, macam mana mahu beli gula dan tepung dan juga beras sebab tidak ada duit. Setiap hari, ramai orang memikirkan duit.
Disebabkan mahu memenuhkan kantung masing-masing untuk selesaikan masalah duit, maka ia jadi peluang kepada sebilangan orang yang lain pula untuk mempergunakan orang yang tidak berduit.
Orang yang tidak berduit diibaratkan seperti orang yang sedang lapar. Dan, orang yang telah lama lapar pula mudah panas baran kerana fikirannya hanya fokus kepada niat mahu makan. Begitu juga dengan orang yang tidak ada duit, fikiran mereka hanya fokus kepada mahukan duit.
Apabila datang janji daripada seseorang yang kononnya boleh menyelesaikan masalah poket mereka, maka orang-orang yang tiada duit dan juga orang-orang yang tamak duit akan mudah bersorak meraikan janji-janji itu. Dijanjikan elaun tanpa perlu bekerja, dijanjikan gaji yang minimum dalam kelas ‘boleh tahan’ , dijanjikan wang mudah atau easy money dan bermacam lagi janji yang menjanjikan duit dan kesenangan yang digambarkan sebagai ‘lebih senang’ daripada sekarang.
Mahu hidup senang, itu juga berkaitan duit. Semua arah tuju hidup telah dan sedang berputar berpaksikan duit. Apabila harga produk petroleum naik, ada yang bising kerana tidak ada duit untuk menanggung kos petrol dan diesel, tetapi ada juga yang tidak kisah. Samalah juga dengan apabila harga barang mula naik, ada yang bising dan ada yang tidak kisah. Yang bising itu ialah yang tidak ‘jenuh’ dengan duit, manakala yang tidak kisah pula ialah yang hidup mereka sudah ‘jenuh’ dengan duit.
Pemikiran yang terlalu fokus kepada soal duit adalah satu kelemahan. Pemikiran akan mudah terpesona apabila datang janji yang menjanjikan masalah duit itu akan selesai kalau melakukan beberapa syarat (sokongan politik adalah yang paling popular, easy money yang kedua popular dan pelan perniagaan pula yang ketiga popular).
Apabila bercakap soal rasuah, ia juga berkaitan duit. Duit, banyak sungguh masalah yang timbul disebabkan duit. Hidup boleh jadi huru hara kalau tiada duit (bagi sesetengah orang), malah negara juga boleh jadi huru hara kalau semua orang hanya mahu hidup senang berenang-renang dalam kolam yang penuh dengan duit.
Ramai yang hanya memikirkan kantung duit sendiri, dapat duit senyaplah mulut, dapat duit lancarlah projek, dapat duit mewahlah hidup. Beri duit, banyaklah orang suka, banyaklah orang sokong, banyaklah orang puji. Apabila berjanji mahu bagi duit kepada orang pain pula, ramailah yang balas dengan harapan. Bukan hidup berputar dalam paksi duit, tapi hidup sudah diputarkan oleh duit dan janji diberikan duit sehingga hilang paksi (kewarasan) yang sepatutnya.
Jadi, apa masalah kita? Adakah masalah hidup kita dicetuskan oleh duit semata-mata? Atau, memang fikiran kita ini yang asyik fokus memikirkan duit sahaja?
Teringat kisah lima tahun lalu di Bangsar ketika saya (STALKER) bersama SHAHi, DRIFTER dan CLOVER minum kopi bersama di sebuah kedai mamak sebelum DRIFTER ambil keputusan berhenti kerja (pendapatan bulanan DRIFTER sudah mencecah lebih RM10 ribu ketika itu) kerana dia mahu merantau keliling dunia. Dia masih bujang dan muda, tiada masalah baginya untuk merantau selama mana yang dia suka. SHAHi pula berhijrah ke United Kingdom pada tahun lepas selepas ditawarkan kerja dalam bidang yang sama dengan kami bertiga di sana.
DRIFTER (perantau) beritahu kepada kami bertiga mengenai niatnya. Dia mahu merantau dengan hanya membawa duit yang cukup-cukup sahaja. Apabila sampai di negara yang dia mahu, dia akan hidup dengan cara bekerja sementara biarpun gaji kecil termasuk mencuci pinggan di restoran di negara asing, dia tidak kisah asalkan ada sedikit wang untuk makan, itu sudah mencukupi. Dia memilih untuk hidup susah, dia nekad wang bukan segala-galanya.
Apabila sudah cukup wang, dia akan terbang dengan pesawat atau naik tongkang ke negara lain pula sehingga dia ‘menemui diri’ yang sebenar dan menemui jawapan-jawapan yang dia cari. Kini, dia masih merantau dan kami namakan dia dengan nama pena DRIFTER. Katanya, dia hanya mahu bergerak seperti dirinya itu adalah kompas. Walaupun tidak berbekalkan peta semasa merantau, tetapi dia tahu ke mana dia pergi. Ketika masih bekerja di Malaysia pula, dia memang tidak pernah sesat jalan semasa mencari lokasi tugasan sejak mula bekerja pada hari pertama. Dia tahu ke mana dia pergi.
Kini, hidup DRIFTER hanya merantau dan semasa tempoh merantau itu selama lebih empat tahun lalu itu, ada sekali dia pulang ke Malaysia. Baginya, ia tidak wajar ditakrif sebagai ‘pulang’ kerana Malaysia adalah laluannya dalam tempoh merantaunya itu. Ketika berada selama lapan bulan di Malaysia, dia bekerja sebagai pengutip tin minuman terbuang, mencuci pinggan mangkuk di Jalan Bonus sedangkan dalam akaun banknya di Malaysia memang ada banyak wang, dia kemudian berangkat ke Brunei.
Saya pula diamanahkan supaya mengirim wang belanja kepada ibu bapanya di kampung, disebabkan tidak punya cukup masa untuk menguruskan kiriman wang seperti diamanahkan, saya membuat autodebit dari akaun DRIFTER ke akaun ibu bapanya di kampung.
Dia kata: “I just following the route, the route just drop me here (Malaysia) for a while and I am not really at home yet, mak bapak aku selalu restu keputusan aku ini sebab mak bapak aku kenal niat aku.” Katanya dalam slanga yang sudah bercampur baur dengan banyak dialek bahasa bangsa-bangsa dunia.
Sepanjang lapan bulan singgah di Malaysia, saya berpeluang bertanya mengenai pengalamannya dan niat sebenarnya untuk merantau. Kata DRIFTER, dia sudah tidak pentingkan duit. Kerana baginya, pemikiran dan iman manusia akan rosak kalau terlalu mementingkan duit. Katanya lagi, nafsu akan mudah melenting kalau harga barang naik.
Selama empat setengah tahun dia merantau, dia bersyukur dengan sedikit rezeki. Pernah dia berjalan sejauh beratus kilometer selama berhari-hari merentas bukit bukau sehingga kurus kering kerana tiada wang untuk membayar tiket bas, bermalam di kaki lima, pengalaman disamun oleh penyamun yang sangat mahukan wang, katanya wang sangat menyusahkan kalau kita terlalu fokus mengenainya.
Kini, dia sudah tidak kisah kalau tidak ada wang kerana rezeki itu bukan urusannya, tetapi rezeki itu urusan Allah. Dia tidak akan melenting kalau harga makanan di Jepun terlalu mahal hanya kerana semata-mata tiada wang untuk membeli makanan. Baginya, kalau ada sikit duit, ada lah. Kalau tiada wang, hiduplah seperti biasa dan jangan memikirkan soal wang.
Itu pengalaman DRIFTER yang bersangkut paut dengan masalah wang seperti dalam artikel ini. Namun, bukan jawapan kepada masalah wang yang DRIFTER cari. Dia mencari seseorang yang juga sedang merantau sepertinya, yang bergerak bebas sepertinya, mencari seseorang yang tidak terkongkong oleh masalah keduniaan, untuk belajar daripada orang itu yang hanya dikenalinya melalui ‘tenaga’ sejak sekian lama tanpa mengetahui namanya. Orang yang dicarinya itu pula seperti mahu mengujinya sehingga menjadi sukar untuk dikejar keliling dunia. Namun, DRIFTER seronok dalam kejar mengejar itu kerana dia sudah tidak kisah dengan masalah-masalah keduniaan.
--
Seluruh hidup sebilangan besar daripada kita hanya fokus kepada duit. Matlamat hidup hanya ditumpukan kepada duit. Lihatlah keadaan sekeliling, pemikiran sebilangan orang boleh dipengaruhi dengan hanya dijanjikan duit dan kesenangan hidup. Pemikiran sebilangan daripada kita mudah terpesona apabila dihidangkan duit.
Ada sebilangan pula, melenting apabila tidak dapat projek berjuta-juta dan melenting apabila bisnes kerugian yang dikatakan berpunca daripada salah orang lain. Sedangkan pemikiran tidak ditumpukan kepada ‘rezeki itu urusan Allah’. Tidak dapat projek itu bukan salah orang lain, tetapi kerana ia rezeki milik orang lain yang lebih berhak melebihi kita.
Kita rugi bisnes pula bukan disebabkan salah orang lain, tetapi terimalah semua itu sebagai ujian dan pengajaran daripada Allah supaya menunaikan segala hak-Nya seperti jangan menipu dalam pentadbiran akaun untuk mengelak daripada membayar zakat, cukai dan tanggungjawab sosial kepada agama dan negara.
Tetapi apabila asyik memikirkan wang untuk menggemukkan akaun bank sehingga iman menderita kebuluran, itu sudah tidak seimbang wahai tuan-tuan. Seluruh hidup kita jangan terlalu difokuskan kepada wang, tetapi fokus kepada yang sepatutnya. Bersyukur dengan segala yang ada, jangan tamak memikirkan wang.
Bak kata ramai orang: kalau memikirkan duit, sampai kiamat pun duit tak akan pernah cukup.
Terlalu memikirkan wang, samalah seperti mengikut kata nafsu sehingga akal mabuk lesu memikirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Dan, jangan mudah terpesona apabila dijanjikan wang mudah.
Islam tidak menghalang pemilikan harta dan berjual beli itu sememangnya dihalalkan. Tetapi, harta dan kekayaan bukan tujuan utama hidup kita. Pak cik dan mak cik di kampung yang mudah terpedaya dengan janji skim itu dan skim ini juga akhirnya berputih mata kerana terlalu mahu mengikut nafsu untuk mendapat banyak wang yang lebih banyak. Semua kerana wang, tetapi wang bukan segalanya.
Kita tidak meninggalkan jawapan di sini, hanya santai-santai sekejap di hujung minggu ini supaya berfikir mengenai fokus hidup kita.
Kita hanya mahu meninggalkan kata kunci kepada para individu ESP yang sudah 'dijemput' iaitu berusahalah untuk HIDUP BEBAS DARIPADA MASALAH KEDUNIAAN DENGAN JALAN HALAL. Berfikirlah mengenainya. Kegagalan berfikir mengenainya akan menjerumuskan kita menjadi hamba duit dan nafsu yang tidak pernah cukup dan tidak pernah puas.
Hiduplah dengan bebas di atas landasan lurus, jalan Allah. Belajarlah daripada kisah Nabi Muhammad berpuasa sunat bersama Aisyah kerana tiada makanan untuk dijamah. Itulah antara kunci untuk bebas ke tahap berikutnya.
No comments:
Post a Comment