Kira-kira 20 kilometer dari Kompong Cham,di Kemboja telah ditemui sebuah candi purba abad ke-7 Masehi.Perjalanan ke sini dari Kompong Cham akan merentasi rumah-rumah desa dengan diapit Sungai Mekong.Prasat Han Chey,itulah namanya yang diberi penduduk tempatan menyimpan sejarah yang amat penting buat orang Khmer,kerana di sana ditemui prasasti bertulisan Khmer,yang merupakan transkrip tulisan Khmer paling tua pernah diketahui.Prasasti ini mengandungi puji-pujian kepada Raja Bhavavarman II,anaknya juga beberapa orang terkenal,yang dipahat pada 35 baris ayat dalam bahasa Sanskrit.Bhavavarman II adalah seorang raja ketika era Chenla.Anehnya,prasasti itu berumur lebih tua,iaitu kira-kira abad ke-6 Masehi,berbeza dari usia bangunan di mana ia ditempatkan.
Terdapat satu baris ayat yang penuh misteri di antara deretan puji-pujian untuk sang raja.
Legenda Tai dan Lao menceritakan tentang Khun Borom dan Khun Lao,iaitu kononnya adalah asal-usul raja-raja mereka.Penelitian selanjutnya oleh sejarahwan Khmer dan Tai sendiri berkenaan mitos raja ini menunjukkan kemungkinan besar Khun Borom adalah bayangan kepada satu dinasti purba raja-raja yang pernah memerintah seluruh Indochina sehingga selatan China.Sesuatu yang menggamit misteri,apabila ulasan sarjana kuat mengatakan bahawa Khun Borom ini sama ada raja-raja Srivijaya ataupun wujud sezaman dengan raja-raja Srivijaya.
Sebab itu,di dalam surat seorang raja Lao kepada pemerintah Khmer sekitar abad ke-16 dari kerajaan Lanxang menggelarkan dirinya 'Maulimalaraja' atau 'Raja orang-orang Mala' (The King of Mala People),gelaran yang biasa digunakan oleh raja-raja Melayu dari istana Sri Dharmaraja (semenanjung Tanah Melayu) dan Dharmasraya (Sumatera).Orang Lao mendakwa Fa Ngum yang membuka Lanxang adalah keturunan Khun Lao (atau Khun Lo),watak legenda orang Lao.Malah istilah 'Sisattanakanahok' yang merujuk kepada Lanxang yang digunakan oleh pemerintah Lao adalah berasal dari sebutan Sanskrit untuk 'Sri Santan Naga Nahud'...iaitu gelaran khas raja-raja Melayu Indochina,terutamanya raja Champa,Simha Jayavarman yang berasal dari istana Sri Dharmaraja.
Semua misteri ini tercantum dalam puji-pujian kepada raja Chenla,Bhavavarman II yang turut menggunakan 'title' raja Melayu purba,dalam prasasti yang dipercayai paling tertua menggunakan skrip Khmer.
Misteri dalam inskripsi Han Chey ini sememangnya memeningkan para sarjana sejarah Indochina,mengapa raja-raja Lao,Chenla dan Champa berkongsi gelaran 'Raja dari orang-orang Melayu'.
Puji-pujian kepada Bhavavarman II,raja Chenla ini tertulis,
"...mala malayu iva malayam raja"
yang bermaksud:'Mala Kings of Malayu' (Raja-raja Mala dari Malayu)...
Mahidhara Court
&
Ketomala Dynasty
"The message of the Prah Chao Sisattanakanahok, the "Mauli of the Mala people" of the Lanxang country, in correlation to Prah Boromindaraja Ramadhipti of the Kamboja Kingdom"
(Message from a Lao King to Borommaracha IV,King of Lovek)
Sejarah raja-raja Melayu adalah sungguh mengasyikkan.Mereka bina kerajaan dan negarakota di merata-rata tempat,bina kapal-kapal dan berlayar menduduki pesisir-pesisir pantai Asia Tenggara,berperang untuk meluaskan kuasa atau mempertahankan diri serta berkahwin dengan puteri-puteri kerajaan lain.Untuk memahami rahsia Melayu,kita mesti memahami 'pantang-larang'nya.Apakah pantang larang dalam memahami rahsia Melayu?
Pertama sekali ialah jangan sesekali melihat sejarah Melayu sesempit dari Perlis hingga Sabah.Keduanya jangan memulakan sejarah Melayu hanya seawal dari Kesultanan Melaka.Ini kerana dahulu raja-raja Melayu bina negarakota di merata-rata tempat di Asia Tenggara sejak beribu-ribu tahun dahulu,seawal era Mesir Purba.Sarjana barat seperti Charles Jones mendapati nama 'Perahu' dan 'Hati' yang terukir dalam tulisan hiroglif Mesir di Luxor tidak punya kaitan yang meyakinkan pada bahasa-bahasa Afrika dan India,namun mempunyai hubungan istimewa dengan bahasa Melayu.Dari lokasi seutara Laos dan Chiang Mai sehingga ke Singapura,dari Sumatera hingga ke Borneo...adalah 'realm' pengaruh pemerintahan raja-raja Melayu.Sebahagian pembesar-pembesar Melayu menuju ke Kepulauan Filipina dan menubuhkan pemerintahan di sana dan di sinilah muncul sistem Kedatuan Filipina.Suryavarman I,raja Angkor adalah raja Kemboja berdarah Melayu sebelah bapa dan Khmer sebelah ibu.Nasionalis Khmer seringkali menafikan dan cuba menyembunyikan raja-raja Melayu yang memerintah Kemboja,tetapi ahli sejarah mereka tidak mampu lagi menutup bukan bangkai gajah,tetapi sebuah taman harum-haruman yang mekar di Indochina.Menyelusuri sejarah sebelum penubuhan Angkor adalah amat mengujakan,seringkali terjumpa bayangan raja-raja Melayu dan gelaran-gelaran yang digunakan mereka dalam inskripsi dan riwayat-riwayat Khmer.Walaupun raja-raja Melayu ini bersembunyi di dalam gelaran Sanskrit dan Khmer mereka,namun ahli sejarah Kemboja dapat membezakan mana satu gelaran-gelaran Sanskrit yang menjadi identiti raja Melayu dahulukala.Contohnya suffix -mala yang dipakai dihujung nama seperti Ketomala,Vimala dan Sriwijayamala adalah khas digunakan oleh keturunan yang disebut oleh sejarahwan Khmer sebagai 'Ma-la-yu'.Begitu juga gelaran 'Sri Siantan Naga' atau 'Sri Santan' adalah 'title' khas raja Melayu,yang dipakai oleh raja Champa dan Lao.Gelaran-gelaran ini terukir pada pelbagai prasasti yang ditemui di Indochina.
Nama 'Malayu' itu sendiri dipahat oleh tukang-tukang Khmer di batu-batu bersurat mereka seawal abad ke-6 Masehi dalam skrip Khmer purba,begitu juga prasasti tembaga di Sumatera yang terukir JELAS perkataan 'bangsa Malayu' dalam skrip Rencong.Ini menunjukkan bahawa pendapat yang mengatakan nama 'Melayu' itu berasal dari perkataan Jawa atau ciptaan British adalah pandangan dungu dan tidak berpelajaran.Tiada siapa yang tergerak hatinya untuk memahatkan perkataan 'British' atau 'Jawa' dalam prasasti-prasasti seawal abad ke-6 Masehi,apatah lagi 'Tausug' atau 'Negrito' sebagai contoh,namun nama "Malayu' itu sendiri adalah nama yang penuh rahsia dan keajaiban.Sudah selayaknya nama 'Malayu' itu punya prestij yang tinggi,dan orang-orang Melayu punya bukti yang teramat konkrit dan mustahil untuk diganggu-gugat lagi bahawa nama bangsa mereka telah terpahat pada prasasti.
Sejarahwan Khmer melambangkan satu pengaruh kerajaan yang besar (The Great Kingdom) yang disebut sebagai 'Mahidhara' yang seringkali dirujuk kepada Sriwijaya atau Sri Dharmaraja (sebagai negarakota yang memiliki aura Malayu sebagaimana Sriwijaya).Seorang raja legenda mereka yang disebut sebagai Prah Ketomala yang memiliki kisah separuh mitos adalah salah seorang yang punya hubungan dengan kerajaan 'Mahidhara' itu.Sebelum kita pergi lebih jauh,dengan persoalan lebih rumit dan kompleks,mari kita memahami dahulu gelaran paling misteri di Indochina sejak berabad-abad lamanya iaitu,Maulimalaraja.
Maulimalaraja
"...mala malayu iva malayam raja"
(sebaris ayat yang terpahat pada Prasasti Han Chey di Kemboja,abad ke-6 Masehi)
Ini adalah gelaran misteri yang dipakai oleh Simha Jayavarman,raja Champa dan Jayaviravarman,raja Angkor.Ia juga dikesan dipakai oleh Setthathirath,raja Lao dari kerajaan Lanxang (Lancang) ketika mengutus utusan kepada raja Kemboja era kerajaan Lovek,Boromindaraja (Borommaracha IV) serta terpahat seawal kurun ke-6 Masehi dalam prasasti Han Chey berisi puji-pujian untuk Bhavavarman II,raja Chenla.
Gelaran 'Mauli' yang juga muncul sepertimana gelaran yang dipakai oleh dinasti Mauli (yang memerintah Dharmasraya) di Sumatera paling menarik dikesan dalam riwayat raja Boromindaraja,raja Kemboja kerajaan Lovek (selepas Angkor ditakluk oleh Ayutthaya).Raja Boromindaraja telah menaiki takhta pada tahun 1555 pada umur 44 tahun.Menyedari bahawa barisan hadapan sebelah timur kerajaannya telah terabai sedemikian lama ketika peperangan dengan Ayutthaya,Boromindaraja telah berusaha untuk menguatkan pertahanan.Dia menghantar pasukan dan pegawai untuk membina sebuah bandar di pantai timur.Pada sempadan Champa,dia membina benteng-benteng untuk mencegah gangguan baik dari Cham atau Dai Viet yang pada ketika itu masih berjuang untuk kawalan ke atas Champapura (wilayah Vietnam hari ini).Setelah mengamankan sebelah timur negara itu,raja Boromindaraja menyiapkan pasukan kecil untuk menghadapi serangan dari Ayutthaya,yang ketika itu di bawah pemerintahan seorang raja baru Dharmaraja (nota:catatan Khmer menyatakan raja Ayutthaya baru ini bergelar Dharmaraja,kemungkinan punya hubungan dengan Melayu Ligor).Sesampainya di Ayutthaya, ia menghantar utusan untuk membawa permintaan kepada Raja Siam yang baru itu.
"Kerajaan Kemboja tidak pernah melakukan kesalahan apapun terhadap Ayutthaya dari negara Siam.Sebaliknya,Ayutthaya telah menghantar pasukan untuk menyerang Kerajaan Khmer beberapa kali.Sekarang kita,sebagai saudara anda lebih muda,membawa tentera untuk melawan anda.Jika kekanda (iaitu raja Siam) bersetuju untuk menyerahkan wilayah Nokorraja-sima di sebelah barat dari Bachin hingga laut yang merupakan sebahagian dari wilayah Khmer yang dirampas oleh Siam di masa lalu,'adik' anda yang lebih muda ini (Boromindaraja) akan menarik pasukannya kembali serta-merta"
Setelah berunding,raja Dharmaraja,Raja Ayutthaya menjawab kembali.
"Atas permintaan adik tentang wilayah barat itu,ia tidak dapat diberikan kerana kekuasaan ke atasnya telah ditetapkan oleh raja Hamsavati"
Sangat menarik untuk dicatat bahawa di dalam komunikasi mereka,para penguasa dari kedua-dua kerajaan menyebutkan diri mereka sebagai saudara.Tidak jelas bahawa itu hanya kebiasaan umum sebagai tanda hormat atau kedua-duanya memiliki hubungan kekeluargaan.Catatan sejarahwan Khmer menyatakan bahawa datuk dari raja Boromindaraja adalah putera dari seorang puteri Siam,Si Sagnam dan naik takhta Khmer di bawah gelaran Dharmaraja juga.Setelah pertarungan yang berakhir dengan kekalahan tentera Khmer dan memukul mundur barisan yang tersisa kembali ke Kemboja,dua kerajaan itu berdamai di antara satu sama lain semula kerana ketika itu raja Khmer tersebut terpaksa berhadapan dengan satu lagi ancaman baru,iaitu keghairahan Raja Lao.Setelah berunding,raja Lao Lanxang membuat keputusan sendiri untuk menakluk Kemboja sebagai negeri bawahannya.Dia mengutus utusannya bersama-sama dengan 1000 tentera,gajah-gajah perang dan mesej kepada kerajaan Kemboja.Mesej raja Lao yang mendorong kerajaan Khmer ke dalam pertarungan gajah perang (budaya popular di Indochina pada masa dahulu termasuk raja-raja Melayu dahulukala),bermula dengan pendahuluan:
"Mesej daripada Prah Chao Sisattanakanahok, "Mauli dari orang-orang Mala" dari negara Lanxang,dalam kaitannya dengan Prah Boromindaraja Ramadhipti dari Kerajaan Kemboja"
Sangat menarik untuk dicatat bahawa raja Laos telah memperkenalkan dirinya sebagai "Mauli dari orang-orang Mala" yang merupakan tradisi dari kerajaan 'Mala dari Malayu' (nota:ini diambil dari istilah sejarahwan Khmer,secara tradisinya bangsa Khmer mencatat 'Mala' dan 'Malayu' sebagai entiti yang sama).Sepertimana sarjana Khmer telah melihat bahawa Lanxang sendiri selalu dikenali oleh Lao barat sebagai Muang Chawa (Ini berasal dari nama Jawaka,empayar Melayu purba sebelum kebangkitan Sriwijamala),penemuan ini menyokong teori masa lalu berkenaan hubungan di antara Lanxang dan Champapura.Pada bahagian berikutnya dari mesejnya,Raja Laos menyampaikan syor untuk menyatukan kedua-dua negara.
Siapakah Kekanda Raja Siam dan apa kaitan dengan Syam Kut?
Nama Siam berasal dari Syam,iaitu sebutan orang Mon-Khmer kepada suku Melayu yang membina kota di selatan Lembah Menam.Suku Melayu ini punya hubungan dengan Cham,satu lagi suku Melayu yang menduduki sebahagian Vietnam pada hari ini pada masa dahulu.Perhatikan kaitan antara 'Cham' dengan 'Syam'.Asal-usul perkataan 'Syam' ini adalah 'Cham' kerana lidah Sanskrit yang pekat kadangkala menjadikan bunyi 's' sebagai 'c' atau sebaliknya (vice versa).Contohnya dalam inskripsi,nama Srivijaya ditulis pada awalnya sebagai 'cri vijaya'.Kemungkinan besar,orang Khmer dahulu memanggil 'Champa' sebagai 'Syampa'.Selepas kejatuhan Sri Dharmaraja kepada Ayutthaya,konotasi Siam/Syam ini diambilalih oleh suku-suku Tai yang berkahwin campur antara orang Mon,Khmer dan Melayu Segenting Kra.
Syam Kut bermaksud Kota Siam,adalah nama sebuah negarakota Melayu yang kemudiannya dinaungi oleh Sri Dharmaraja(Ligor).Rakyatnya dipanggil 'Siam' oleh orang Mon-Khmer.
Bukti paling jelas tentang nama 'Syam' ini ialah pada penggambaran dari Angkor,dimana apa yang menjadi misteri adalah bahagian di bawah label "Syam Kut", jelas menggambarkan kumpulan-kumpulan bukan Khmer di bawah komander mereka sendiri.Hal ini menunjukkan perbezaan antara kumpulan-kumpulan itu dengan tentera Khmer dari kerajaan Angkor (tentera Angkor bukanlah semuanya berbangsa Khmer).Inskripsi kecil yang lain mengenalpasti komander mereka sebagai "Anak rajyakaryya bhaga paman jen jhala ta nam Syam Kuk",seorang perwira kerajaan dari Paman bhaga "jhala Jen" yang bernama "Siam Kuk" (ayat dalam inskripsi itu jika kita lihat memiliki kata-kata dalam bahasa Melayu dan jika diterjemah lebih kurang seperti ini:'Anak raja 'karya' paman 'jen jhala ta' yang bernama Siam Kuk).Petunjuk ini menggambarkan para askar di Syam Kuk terdiri dari pasukan yang tidak mempunyai formasi dan kelihatan tidak teratur serta lebih primitif daripada unit-unit tentera dari kumpulan-kumpulan ketenteraan Angkor.Melihat dengan teliti tentera Siam Kut lebih sesuai dengan ciri-ciri para askar Guchanaga (berkaitan dengan tentera Paramakamboja dalam hikayat Mahabbharata).Bulu Merak yang menghiasi aksesori mereka itu nampaknya digunakan untuk dekorasi pada kedua-dua tombak mereka dan hiasan kepala.Mereka juga memakai pakaian yang menutup di bahagian bawah yang nampaknya sama dengan pakaian tradisional Mon atau sarung Melayu yang disebut "longyi".
Sumber Kemboja telah mengenalpasti bahawa Siam Kut/Kuk adalah rujukan Khmer kepada sebuah bandar di selatan Lembah Menam.Terletak sekitar Ayutthaya,Siam Kut adalah sebahagian dari Sri Dhammaraja (dari sini muncul nama 'Siam').Para askar Siam yang tidak diragukan lagi adalah askar Sriwijaya yang bergabung dengan pasukan Lavo (ingat:raja Melayu bernama Sujita yang menakluk Lavo) yang berperang bagi pihak tentera Angkor. Walaupun berselindung di sebalik penampilan primitif mereka,mereka sering disebutkan dalam teks-teks purba China sebagai 'askar yang memiliki keberanian tak tertandingi'.Di sisi lain,bukti menunjukkan bahawa bangsa Tai atau Laos dari negara-negara utara sudah mengadaptasi budaya Khmer.Melalui kerajaan Lavo,Xiangmai (Chiangmai) menerima budaya Khmer jauh sebelum kewujudan Haripangjaya (Hariphunjaya).Pakaian tradisional mereka terdiri dari sepotong kain yang lebih besar,memakai dengan hujung depan lewat di antara kaki dan ketat ke belakang,persis sama seperti cara askar Khmer dan Lavo mengenakan pakaian.Mungkin benar mereka telah direkrut ke dalam unit tentera Angkor dimana mereka diletakkan di bawah batalion tentera Lavo.Dari sini kita dapat mengetahui,terdapat unit khas tentera Melayu dalam ketenteraan Angkor.Mereka memakai pakaian tradisional sendiri berbeza dengan pakaian seragam tentera Angkor.Ini samalah seperti tentera Tartar dalam pasukan Turki Uthmaniyyah atau tentera Cossack dalam pasukan Poland,Ukraine dan Russia.
Dengan rahsia yang didapati dari inskripsi dan tradisi Kemboja,kita tahu bahawa nama 'Siam' itu adalah nama sebuah negarakota berkonsepkan 'Malay city-states'.Ia bukan identiti orang Tai pada asalnya.Rakyat negarakota ini digelar 'Siam' walaupun berbangsa Melayu atau Mon.Kemudian ia ditakluk oleh Sri Dharmaraja,sekaligus di bawah pengaruh 'Mahidhara' iaitu naungan sebuah 'federation' atau negara besar,tidak lain tidak bukan ialah Emperium Sriwijaya.
"Mauli"
Nama ini muncul dalam surat yang diutuskan oleh utusan perang raja Lao kepada raja Lovek,Kemboja.
Nama 'Mauli' ditemui pula pada Prasasti Grahi tahun 1183 di selatan Thailand.Prasasti itu berisi perintah Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa kepada bupati Grahi yang bernama Mahasenapati Galanai supaya membuat arca Buddha seberat 1 bhara 2 tula dengan nilai emas 10 tamlin. Yang mengerjakan tugas membuat arca tersebut bernama Mraten Sri Nano.
Dinasti Mauli menggantikan dinasti Sailendra dalam memegang kekuasaan ke atas wilayah-wilayah Sriwijaya selepas perpecahan empayar maritim itu.Dalam manuskrip berjudul Chu-fan-chi karya Chau Ju-kua tahun 1225 disebutkan bahawa negeri San-fo-tsi memiliki 15 daerah bawahan, yaitu Che-lan (Kemboja), Kia-lo-hi (Grahi, Ch'ai-ya atau Chaiya selatan Thailand sekarang), Tan-ma-ling (Tambralingga, selatan Thailand), Ling-ya-si-kia (Langkasuka, selatan Thailand), Ki-lan-tan (Kelantan), Ji-lo-t'ing (Cherating, pantai timur semenanjung Malaysia), Tong-ya-nong (Terengganu), Fo-lo-an (muara sungai Dungun, daerah Terengganu sekarang), Tsien-mai (Semawe, pantai timur semenanjung Malaysia), Pa-t'a (Sungai Paka, pantai timur semenanjung Malaysia), Pong-fong (Pahang), Lan-mu-li (Lamuri, daerah Aceh sekarang), Kien-pi (Jambi), Pa-lin-fong (Palembang), Sin-to (Sunda), dan dengan demikian, wilayah kekuasaan San-fo-tsi membentang dari Kamboja, Semenanjung Malaysia, Sumatera sampai Sunda.
Selain itu,satu lagi fakta yang jarang diketahui dan cuba disorokkan oleh sejarahwan Tamil ialah catatan ahli geografi Cina,Ma-lin Tuan (sekitar 1200) menyatakan bahawa Chou-lien telah menjadi negeri bawahan dari Sanfotsi (sebutan China untuk Sriwijaya),juga mengesahkan dakwaan yang sama pada manuskrip Sung-shih (960-1279).Chou-lien adalah nama China untuk kerajaan Chola di India.Ini bertepatan dengan catatan sejarahwan Khmer bahawa,Sriwijaya dengan bantuan beberapa negeri bawahannya telah berjaya menyerang balas serangan Chola dan menghalau mereka balik ke India.Sememangnya ahli sejarah tahu bahawa prasasti Tanjore yang dipahat atas perintah raja Rajendra Chola itu hanyalah sebagai 'dakwaan berlebih-lebihan' sebagai cara untuk menakut-nakutkan saingannya seperti kerajaan Hoysala dan Pandya di India.Ini tepat dengan catatan dari Thailand yang menyebutkan bahawa ketika raja Melayu bernama Chandrabanu dari negeri Sri Dharmaraja menyerang Sri Lanka pada abad ke-13,yang menghadapi beliau bukanlah kerajaan Chola,tetapi kerajaan Pandya.Penyelewengan sejarah Chola-Sriwijaya ini amat memalukan malah ada di antara penulis-penulis kita sendiri yang mengagung-agungkan serangan 'pengecut' Rajendra Chola itu malah ada yang mendakwa Raja Suran adalah raja Chola tersebut.Kemungkinan besar,hanya pelabuhan Kedah sahaja yang berjaya diserang oleh tentera Chola,kemudian menurut riwayat Kemboja,saki-baki tentera Chola itu ada yang lari ke Indochina dan mempengaruhi istana Kemboja.Kemudian tidak berapa lama selepas itu,kerabat dinasti Sriwijaya merampas kembali kedudukan mereka dalam istana Kemboja dan menghapuskan pengaruh Chola di Nusantara.Sebab itu TIADA DALAM CATATAN luar sama ada dari China atau Arab yang mengatakan Sriwijaya menjadi negeri bawahan Chola.Serangan Chola itu sebenarnya hanya berpaksikan prasasti Tanjore tersebut,tidak lebih dari itu.Malah dalam prasasti Tamil yang ditemui di sana,ada yang mendakwa raja mereka telah menakluk China!Dakwaan menakluk China itu sebenarnya hanyalah bertujuan untuk menakut-nakutkan musuh mereka,memandangkan negeri China adalah besar dan mustahil kerajaan Tamil mampu menakluk seluruh China.Dari sini kita tahu bahawa Rajendra Chola tidak pernah menakluk Sriwijaya,dan dakwaan raja Chola yang dipahat pada prasasti dengan bangga itu sebenarnya hanya menunjukkan bahawa keagungan empayar Sriwijaya,setaraf dengan Emperium China.Pada masa itu di selatan India,sesiapa yang mampu mengatakan bahawa dia mampu mengalahkan China atau Sriwijaya,maka dia adalah raja yang amat hebat.
Gelaran Maulimalaraja juga dipakai oleh Jayaviravarman,raja Kemboja ((1002-1006).Dia adalah abang kepada Udayadityavarman dan telah disebutkan dalam inskripsi Prasat Khna sebagai Sri Narapativiravarman.Prasasti dari Prasat Trapan Run memperkenalkan Jayaviravarman Sebagai Raja Mala (Maulimalaraja), menyambung salasilah dirinya kepada kerabat Sriwijaya, raja Sujita di dalam riwayat Mon.Sriwijaya,sebagaimana menurut catatan-catatan Khmer,merupakan 'negara penaung' kepada Empayar Angkor,malah bersama-sama mencorakkan politik Kemboja.Begitu indah peranan raja-raja Melayu pada masa dahulu di Indochina.Nama 'Raja Mala' terpahat dalam pelbagai batu bersurat di Indochina,menunjukkan sejarah bangsa Melayu adalah sejarah bertulis,bukan dongengan,cakap-cakap orang tua mahupun wasiat-wasiat orang mati yang sudah tentu ditokok-tambah sesedap rasa dari mulut ke mulut.
Tidak layak nama 'Malayu' itu sekadar cakap-cakap mulut.Nama 'Malayu' dipahat pada prasasti-prasasti dan diletakkan di dalam tempat-tempat suci,sama ada ketika era Hindu-Buddha hinggalah pada zaman Islam.Anda boleh membaca buku '7 wali Melayu' oleh Abdul Ghani Said,yang menerangkan dengan jelas peranan wali Melayu kepada dunia Islam.Diceritakan Syeikh Haji Said Al-Linggi telah menghadiri mesyuarat para wali dimana Syeikh Habib Nuh,wali Melayu dari Singapura juga menghadirinya.Syeikh Haji Said selepas keluar dari bilik suluknya (bilik untuk berzikir atau menyendiri) memberitahu bahawa umat sebelah Timur diwakili oleh dirinya dan Habib Nuh.Sungguh mulia peranan wali-wali Melayu untuk kebaikan umat Nusantara.Ketika era penyebaran Islam,bahasa Melayu adalah bahasa agama Islam di Nusantara,dan tulisan Jawi juga dicipta berasaskan bahasa Melayu.Sehinggakan untuk mempelajari Islam di Asia Tenggara pada masa dahulu,mesti tahu bahasa Melayu dan Arab.Orang Melayu dan bahasanya menjadi asbab hidayat kaum-kaum Nusantara termasuk orang Siam dan Tausug.Orang Siam diIslamkan oleh pendakwah-pendakwah Champa,Patani dan semenanjung manakala orang Tausug misalnya diIslamkan oleh pendakwah Melayu Johor keturunan Arab.Untuk ikram (muliakan,melayan) kaum-kaum ini,orang Melayu berlembut hati malah berkongsi kekayaan buminya kepada kaum-kaum yang dahulunya menjadi lanun atau orang gasar.Orang Melayu dan sifat tolak ansurnya yang tinggi mentamadunkan mereka sehingga sama-sama menghirup nikmat iman dan Islam.Ketika era Buddha,orang Melayu melahirkan bikkhu,sami dan pendeta bertaraf antarabangsa sehingga menguasai 'Yoga Tantra'.Yoga Tantra inilah yang dicari oleh Atisa,seorang pendeta dari Tibet.Beliau sanggup berlayar dari Tibet ke Sumatera semata-mata mahu mendalami hakikat pertapaan Yoga Tantra ciptaan Melayu Sriwijaya.Sehingga apabila beliau pulang ke Tibet,beliau telah mengasaskan aliran Buddha yang baru iaitu yang kini dianut oleh sami-sami di Istana Potala,hasil pembelajarannya dari pendeta-pendeta Melayu.Ketika era Islam,orang Melayu tetap ke hadapan melahirkan ramai ustaz,ulama dan mufti dan ini diakui oleh ulama Mesir bahawa 'jika mahu belajar agama Islam dengan sempurna,disyorkan belajar pada ulama-ulama Arab,namun jika mahu lebih mendalami agama Islam,disyorkan belajar pada ulama-ulama Melayu'.Ketika bangsa Melayu beramai-ramai meninggalkan agama menyembah patung tak bernyawa,orang Tai,Khmer,Burma dan sebagainya masih mengamalkan agama nenek moyang di mana agama mereka itu sendiri diajarkan oleh orang Melayu beribu tahun dahulu.Ironinya,Orang Melayu kini sudah sinonim dengan Islam,sehingga wujud,dogma yang menyebutkan bahawa jika masuk Islam,maka masuk Melayu.
Berbalik kepada gelaran Maulimalaraja,sebenarnya gelaran ini bertitik tolak dari raja-raja Melayu purba yang memerintah pelbagai negarakota pada masa silam.Raja-raja Melayu ini mencapai prestij yang tinggi.Mereka amat bijak dalam perdagangan maritim.Jika anda mengatakan bahawa orang Bugis dan Sulu adalah penguasa lautan,orang Melayu adalah PENGURUS kepada penguasa lautan.Raja-raja Melayu membuka laluan perdagangan laut dan mengurusnya,kemudian orang Laut,Bugis dan Sulu berkhidmat kepada raja-raja Melayu.
Legenda Khmer menyebutkan seorang raja yang berasal dari Kedah,disebut Prah Ketomala.
Misteri Prah Ketomala
Menurut tradisi Khmer,kelahiran Prah Ketomala adalah dihubungkan dengan Indra (nama seorang dewa).Ketika dikandung,kononnya si ibu melihat dalam mimpi bahawa Indra telah menjelma ke dalam kehamilannya.
"Ibu Ketomala sedang hamil dan satu malam dalam mimpinya dia melihat Dewa Indra menyentuh perutnya dan memberikan sebentuk kristal dengan 5 warna-warna cerah. Dia mengatakan kepada suaminya untuk bertanya kepada peramal raja.Peramal telah meramalkan bahawa dia akan dikurniakan seorang putera dengan kemuliaan atas musuh-musuhnya ke segala arah.Kemudian dia berjaya melahirkan seorang bayi.Bayi itu diberi nama Prah Ketomala"
Menurut tradisi Khmer lagi,kononnya dewa Indra telah membinakan sebuah candi untuk Prah Ketomala sebagai cucunya dengan menghantar seorang arkitek bernama Visnukarman.Tradisi Khmer ini menunjukkan raja-raja Melayu suka membanggakan diri dengan cara mengaitkan diri mereka dengan dewa;bukti mengamalkan konsep 'dewaraja'.
Sejarahwan Khmer mengatakan kewujudan raja legenda Ketomala tidak dapat dibuktikan melalui inskripsi konkrit Angkor.Namanya iaitu "Keto-mala" menunjukkan bahawa dia adalah seorang Raja Mala dari Kedah yang menghubungkan dia kepada Raja Sailendra empayar Sriwijaya.Pada masa dahulu 'Kedah' dikenali sebagai 'Keta' atau 'Ketaha'.Nama 'Keto-mala' bukanlah berasal dari bahasa Sanskrit atau Khmer malah tiada maksud perkataan itu dalam bahasa Sanskrit.Ia juga dipercayai bahawa nama Ketomala bukanlah satu orang,tetapi adalah garis raja-raja yang menerima perlindungan khusus dari kerajaan Indra.Dari senarai penguasa Khmer,pada anak didik pertama Dewa Indra jelas Indravarman II yang mewarisi gelaran dari ayahnya Prithivindravarman. Sejarahwan Khmer melihat bahawa Prithivindravarman datang dari Malayu untuk menguasai Champapura dan mencipta sebuah garis keturunan baru dari raja-raja Ketomala dari Kemboja.Mungkin untuk tujuan pengiktirafan,yang demikian itu adalah adat untuk raja yang mula menelusuri garis keturunan nenek moyangnya dan Indravarman berbuat seperti itu.Prasasti Dong-doung menjejak garis keturunan Indravarman kembali ke raja Rudravarman.Jelas bahawa dia adalah Rudravarman,raja Chenla yang digulingkan dari takhta Kemboja dan pergi untuk berlindung di Yunnan.Tai dan tradisi Lao mengingati dia sebagai Khun Borom dan bahawa keturunannya,Khun Inh kembali untuk membina Ayutthaya dan bandar-bandar lain di Indochina.Dalam hubungan dengan tradisi Siam utara,inskripsi yang sama memperingati Indravarman raja pertama yang boleh dikenalpasti sebagai Indravarman I,pengasas Indrapura di Dong-doung (ingat Prasasti Dong-duong yang mengaitkan Champa dengan Sri Dharmaraja) dan Prithivindravarman adalah keturunan langsung darinya.Prasasti Sanskrit dari Prasat Cha Chuk merakamkan salah satu purohita (pegawai) bernama Visnubhatta yang juga berkhidmat berturut-turut di bawah raja Yasovarman dan Harsavarman.
Sejarahwan Kemboja menyifatkan bahawa legenda orang Tai tentang Khun Borom telah disalah anggap sebagai perkaitan dengan penghijrahan bangsa Tai dari Yunnan.
Mereka berpendapat bahawa legenda Khun Borom adalah keturunan Raja Rudravarman yang mana dirinya bukanlah penduduk asli Yunnan tetapi seorang pelarian dari kerajaan Khmer dari Kemboja.Dikejar oleh puak Chenla,dia menetap dan mengasaskan fahaman Buddha aliran Mahayana di Yunnan yang akan kemudiannya,mendakwa dirinya sebagai dewaraja Paramesvara,nenek moyang Empayar Angkor.Menurut legenda yang sama,salah seorang putera bernama Khun Inh mendirikan kerajaan di Ayutthaya. Ini bertepatan dengan munculnya dinasti Sailendra dari Empayar Sri Vijaya yang kemudiannya menjadi dinasti Ketomala di Angkor.Sebaliknya,beberapa generasi pertama dari raja-raja Ayutthaya baru tidak dilapisi dari dua dinasti Angkor.Seperti yang akan kita lihat nanti,hubungan mereka dengan Khun Borom adalah melalui Raja Mengrai dari Lannathai.Mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Kaeo yang melarikan diri dari Yunnan,digulingkan oleh Mongol dan menetap di Xiangrai melalui penginapan Raja Mengrai.
Suryavarman II,mempunyai pertalian dengan kerabat Sriwijayamala menerusi Jayaviravarman VII. |
Kesimpulan yang dapat dilihat dari sini ialah,raja-raja Melayu Indochina mempunyai pelbagai hubungan dengan kaum-kaum lain,seperti Khmer dan Tai.Dua dinasti utama ini,Sailendra dan Sriwijaya menghasilkan dinasti-dinasti kecil Melayu-Khmer seperti Devavamsa dan Ketomala.Mereka menaiki takhta Angkor dan memerintah seluruh Kemboja.Raja-raja Melayu di Indochina biasanya berasal dari istana Sri Dharmaraja,Gangga Nagara atau keturunan Kedah Tua.Hubungan raja-raja Melayu dan orang Melayu sendiri di Indochina amat kompleks dan memerlukan kajian lanjut.Walaupun nasionalis Khmer cuba untuk 'meng-khmer-kan' raja-raja Melayu ini,namun batu-batu bersurat yang menuliskan salasilah raja-raja Melayu membuktikan misteri yang seterusnya.Misalnya Prasasti Say-Fong (Laos) memperkenalkan Jayavarman VII (seorang raja Angkor) sebagai anak kepada Dharanindravarman II dan seorang puteri dari Jayadityapura.Melalui ayahnya,dia adalah sepupu kedua Suryavarman II,dan melalui ibunya Chudamani yang juga puteri Harshavarman III,dia adalah cicit Suryavarman I dari dinasti Sriwijaya (Suryavarman I berbapakan Melayu,beribukan Khmer).
Sebab itu pembina Angkor Wat,Survarman II,punya hubungan keluarga dengan Melayu Sriwijaya.
Siapakah 'Malayu' dalam Inskripsi Han Chey?
Barisan transkripsi yang mengandungi puji-pujian kepada Bhavavarman II yang bergelar 'Raja Mala dari Negeri Melayu'. |
Malayu adalah nama satu kaum yang menjadi 'ruling-class' tertua dalam sejarah Indochina.Di sana terdapat juga nama 'Malayang' dimana bermaksud,'negeri Melayu' dalam bahasa Khmer.'Mala' adalah nama tertua bangsa ini,dimana ketika kaum Asia Tengah tiba di Asia Tenggara seperti Kamboja dan Saka beribu-ribu tahun dahulu,mereka memanggil bangsa ini sebagai 'Mala-yu',dimana -yu adalah suffix dalam bahasa Avestan mewakili bangsa,budaya atau cara pemikiran.Tradisi Khmer menyebutkan nama raja-raja Melayu sebagai 'Raja Mala'.Sebagaimana di Sumatera,terdapat satu kerajaan kuno bernama 'Malayu' (Malayang dalam bahasa Khmer),kerajaan yang punya nama yang sama juga terletak di utara Segenting Kra.Anehnya,selepas Funan ditakluk Chenla,raja-rajanya memakai gelaran 'raja orang Mala'
Warisan ini membuktikan bahawa Malayu,yang juga sebahagian dari Sri Dhammaraja,adalah sebenarnya Funan yang menjadi sebahagian daripada Empayar Chenla selepas pembukaan Bhavavarman (cucu kepada raja Funan,berkahwin dengan gadis Khmer dan memberontak kepada datuknya).Prasasti Han Chey, pada baris pertama,memperkenalkan Bhavavarman sebagai "mala malayu iva malayam raja",iaitu bermaksud:Raja Mala dari Malayu.Ini adalah tulisan pertama setakat ini yang berkaitan dengan seorang raja Chenla sebagai penguasa Funan (Malayu).Sarjana Khmer cuba menakrifkan siapa itu Malayu menurut tradisi dan legenda mereka.Mereka mengatakan bangsa Malayu mungkin berasal dari raja laut Naga Mohodara,di mana bangsa ini mempunyai kebiasaan khusus memperkenalkan diri mereka dengan bunga (Mala) terutama teratai (Botum atau Padma).Ini adalah identiti khas bangsa Malayu yang berselindung di sebalik bunga-bungaan dan wangi-wangian.Bukti dari tradisi bangsa Khmer ini dan pandangan mereka terhadap orang Melayu membuktikan pandangan Bani Israel terhadap Keturah,iaitu dalam bahasa Ibrani Kuno bermaksud 'wangi-wangian'.Setakat ini,inilah batu bersurat yang paling tertua mencatatkan nama bangsa Melayu,yang mana ketika ini bangsa Inggeris belum wujud lagi,apatah lagi Siam mahupun Tausug sekadar menamakan beberapa contoh.
Tradisi Khmer sendiri menyatakan kegemaran bangsa ini terhadap bunga-bungaan,sehinggakan nama dinasti atau kerajaannya dinamakan sempena nama bunga-bunga.Apabila menyambut tetamu,pada masa dahulu,mereka sering meletakkan bunga atau jambangan bunga di rumah untuk menyerikan suasana.Para gadis mereka sering menyelitkan bunga-bunga di telinga.Identiti ini,menurut tradisi Khmer tidak diragukan lagi adalah berasal dari 'Malayang' atau dalam bahasa Khmernya bermaksud negeri Melayu.Lem Chock Moth,sejarahwan Kemboja menyatakan Malayang ini adalah identiti negara Malaysia pada hari ini,sebagai negara bagi orang-orang Melayu.Anehnya,beliau menyatakan bahawa bangsa ini punya sejarah silam dengan bangsa-bangsa besar di Mediteranean terutama bangsa Greek (mungkin Troy) yang disebut olehnya sebagai sebahagian dari satu kelompok keturunan Mohodhara (sejak peperangan Trojan,Babilon dan Parsi merupakan inspirasi kepada Ramayana dan Mahabbharata serta disebut dalam kitab-kitab Vedic).Legenda Kemboja mengatakan bahawa kalungan bunga digunakan sebagai sebahagian dari hiasan kepala mereka.Perkataan 'Malayang' (Mala-yang) bermaksud kerajaan/negeri bangsa Mala,telah banyak kali muncul dalam prasasti-prasasti Khmer sebagai salah satu negeri dalam Funan dan seterusnya Empayar Angkor.Sejarah Dinasti Tang menyatakan bahawa terdapat delegasi duta dari 'Mo-lo-yu' pada tahun 644 hingga 645 Masehi,sebaik sahaja kedatangan duta dari 'Ho-ling' yang menghantar dutanya pada tahun 640 Masehi.Nama ini merujuk pada negara Malayu terletak di pantai timur Sumatera dan berpusat di wilayah 'Jumbi' (sebutan Khmer).Hal ini juga menarik untuk dicatat bahawa Jumbi,kata dalam bahasa Khmer untuk sebuah pohon bunga yang dikenali dalam bahasa Sanskrit sebagai Kemboja.Prasasti Han-Chey memperingati kemenangan Bhavavarman atas 'Raja Gunung' (Funan) yang berada di Mahidhara dimana legenda Khmer mengenalpastinya sebagai raja 'Kamboja Crivijaya' (sebenarnya yang tepat ialah raja dinasti Sailendra).Semua ini mengingatkan kita pada masa dahulu,raja-raja Melayu mempunyai hubungan rapat dengan kaum-kaum bukit Mon-Khmer (hill-tribes) dan menjadikan sebagai tentera atau berkhidmat dalam istana.Gadis-gadis mereka yang memiliki wajah rupawan dijadikan gundik-gundik,dayang atau isteri raja-raja Melayu.Terdapat dalam legenda Khmer tentang seorang raja Malayang yang memikat gadis Khmer dan raja-raja Melayu dahulukala mempunyai pengikut di antara orang Kensiu dan Kintaq (pribumi yang menduduki pedalaman Tanah Besar Asia Tenggara,sebahagian mereka terdapat di Malaysia dan dikategori sebagai Orang Asli bersama-sama Melayu Proto seperti Jakun) yang kemudiannya menjadi bangsa Khmer.
Persoalan 'darah naga' pada bangsa Melayu adalah cerita yang lain.Orang Khmer memang tepat memperincikan setiap sisi bangsa misteri ini.
Identiti Funan dalam Inskripsi Han Chey
Umum mengetahui,nasionalis Kemboja bermati-matian menuntut kerajaan Funan adalah kerajaan orang Khmer.Namun sampai hari ini,tidak ada bukti konkrit mengatakan Funan benar-benar kerajaan Khmer.Nama Funan itu sendiri didapati dari rekod China,Fu-nan.Anehnya,kerajaan Chenla yang pernah menjadi negeri bawahan (vassal) kepada Funan,dipastikan kerajaan orang Khmer berdasarkan inskripsi dan tradisi Khmer sendiri.Namun bukti bertulis dari Khmer tidak pula menyatakan dengan terus terang bahawa Funan adalah kerajaan orang Khmer.
Dengan pengakuan Bhavavarman II ini di dalam Prasasti Han Chey,yang mengiktiraf dirinya sebagai 'Malayu iva Malayam raja' (raja negeri Melayu),maka sahlah bahawa nama Funan (Fu-nan adalah sebutan dari rekod China,bukan nama sebenar atau panggilan oleh penduduk Funan) yang sebenar ialah Malayang/Malayam,iaitu bermaksud 'negeri Malayu'.Selepas menakluk sepenuhnya wilayah-wilayah Funan,raja Chenla itu memahatkan kejayaannya dalam prasasti tersebut dan mengiktiraf dirinya sebagai 'Raja Mala dari Negeri Malayu'.Ini adalah petunjuk paling terahsia tentang nama asal Indochina.Ini menunjukkan pada zaman purba,sempadan negeri-negeri Malayu adalah dari Yunnan bersempadan dengan wilayah China hingga ke Temasik iaitu Singapura sekarang ini.Ini adalah negeri-negeri Melayu di Tanah Besar Asia,belum termasuk di bahagian kepulauan,terutama di Sumatera dan Borneo.
Rahsia tersembunyi dari Fa Ngum
Fa Ngum adalah seorang raja yang dikatakan pengasas kepada kerajaan Lao Lanxang (Lancang).Raja ini dikesan menggunakan 'title' diraja yang biasa digunakan oleh raja-raja Melayu Indochina seperti raja Champa dan Sri Dharmaraja.
Selama mengeksploitasi kedudukan Fa Ngum,Kerajaan Xiangtong (panggilan orang Tai kepada Muang Sua,kini termasuk dalam Luang Phrabang) menyedari bahawa mereka telah sampai kepada tujuan terakhir yang berkaitan dengan negara asal mereka.Kerajaan Xiengtong adalah kerajaan awal orang Lao yang serumpun dengan bangsa Tai,sebelum menubuhkan kerajaan Lanxang.Pada saat itu, takhta Xiangtong diduduki oleh bapa saudara Fa Ngum,Fah-Kham-Hiao.Setelah Fah-Kham-Hiao meninggal dunia,kerajaan Xiangtong menjemput Fa Ngum kembali untuk menaiki takhta yang seharusnya menjadi miliknya sesuai dengan haknya sebagai waris yang layak.
Oleh yang demikian,selepas kematian Raja Chao Fah-Kham-Hiao,menteri dan pegawai yang sebelumnya ditinggalkan Putera Fa Ngum tidak membuang masa menjemput putera Lao itu menaiki takhta kerajaan Xiangtong.Putera Fa Ngum telah naik takhta pada tahun 1353.Ketika dia mencapai usia 37 ia diberi nama "Phragna Fah-La-Thorani Sisatanakanahud".
Kerajaan Lao Lanxang |
Sangat menarik untuk dicatat bahawa gelaran "Phragna Fah-La-Thorani Sisatanakanahud" adalah transkripsi Lao dari judul bahasa Sanskrit "Pongna Prah Dharnindra Sri Santan Naga Nahud" yang menghubungkan dia ke legenda Khun Lo atau Dharnindravarman dari inskripsi Khmer.Sarjana Khmer melihat bahawa kedua-dua warisan dari kerajaan Melayu "Sri Santan Naga" dan "Mauli kepada orang Mala" juga hadir dalam riwayat lain raja Lao Lanxang,sebagai pewaris keturunan Fa Ngum.Hal ini kemungkinan terlalu awal untuk mengesahkan yang demikian,namun,untuk mengaitkan kesimpulan tentang hubungan Fa Ngum dengan raja Champa ketika itu,Simha Jayavarman,mereka kemungkinan adalah berasal dari Sri Dharmaraja (dengan maksud lain,Fa Ngum sebenarnya keturunan Melayu dari istana Sri Dharmaraja).Mungkin salasilahnya sama seperti Suryavarman I,dalam kes ini,bapa Fa Ngum kemungkinan Melayu yang berkahwin dengan wanita Lao.Sementara Simha Jayavarman menubuhkan kembali negara Champa dengan memusnahkan kawalan Dai-Viet terhadap kawasan tersebut (Laos kini),Fa Ngum pula tiba-tiba menubuhkan kawasan yang dibuka oleh raja Champa itu sebagai ibukota negeri baru (Lanxang).Ini menunjukkan terdapat hubungan antara raja Champa dengan Fa Ngum,setidak-tidaknya kalau bukan pertalian keluarga.Kehadirannya membawa kembali budaya Melayu Indochina dan Khmer ke wilayah utara Mekong buat pertama kali setelah kerajaan Xiengtong memutuskan hubungan dengan empayar Khmer.Perlu dicatatkan di sini,bahawa orang Lao adalah rumpun Tai yang paling awal berhijrah ke Indochina sebelum perpindahan beramai-ramai orang Thai.
Terdapat banyak petunjuk di Kemboja dan Laos tentang aktiviti raja-raja Melayu pada masa purba.Rahsia Melayu terpecah-pecah disimpan di dalam riwayat-riwayat Mon,Lao dan Khmer.Negeri-negeri Melayu di Indochina yang disebut dalam batu bersurat Khmer sebagai 'Malayang' seakan-akan menjadi kerajaan kayangan dalam hikayat-hikayat Melayu.Padahal jelas,ditulis pada batu bersurat nama 'Malayang' dan 'Mala raja' itu.Kemungkinan di sanalah Puteri Kaca Bertuang atau Raja Antah Berantah (sekadar contoh sahaja) bermain-main di taman bunga-bungaan hikayat-hikayat Melayu.
Untuk meneruskan pencarian kepada petunjuk-petunjuk seterusnya,kita akan menyelusuri Sungai Mekong dan menggali batu-batu bersurat di Pulau Jawa untuk menjejak nama satu lagi dinasti Melayu purba yang amat berpengaruh, Sailendra.
bersambung...............
No comments:
Post a Comment